recent posts

Review Microsoft Windows 10


Akhirnya penantian untuk menggunakan versi Windows terbaru telah berakhir pada 30 Julai yang lalu. Windows 10 secara rasminya telah diedarkan kepada seluruh dunia dan sedia di muat turun secara percuma kepada pengguna Windows 7 dan 8. Saya juga telah mula menggunakannya hampir sebulan lebih. Ini adalah review saya mengenai Windows 10.



Antaramuka Baru
Seperti yang mungkin anda sedia maklum, pada setiap versi terbaru Windows, paparan antaramuka selalunya akan diubah oleh Microsoft dan Windows 10 juga tidak ketinggalan dalam hal ini.

Mengambil pengajaran daripada maklumbalas pengguna Windows 8 sebelum ini, bolehlah saya katakan bahawa Microsoft berjaya untuk mengembalikan semula kepercayaan pengguna kepada jenama Windows.

Pada permulaan pengedaran Windows 8 di pasaran, Microsoft mengalami tamparan hebat daripada pengguna kerana memperkenalkan perubahan antaramuka drastik yang dikenali dengan Modern UI. Fokus utama Microsoft pada ketika itu adalah untuk menghasilkan Windows yang memfokuskan kepada pasaran tablet.

Betapa ramai yang tidak meminati Windows 8 pada ketika itu sehinggakan banyak eksperimen yang dirakamkan oleh pengguna Windows 8 antaranya ialah menunjukkan golongan tua menggunakan Windows 8 untuk kali pertama. Mereka sukar untuk memahami Windows 8 kerana antara masalah utamanya ialah kehilangan menu Start yang sudah sinonim dengan pengguna sebelum ini.



Masalah ini agak serius kepada pengguna sehinggakan ada syarikat yang telah menghasilkan software khas untuk mengembalikan semula menu Start kepada pengguna. Antaranya ialah Classic Shell dan Stardock Start8.

Kini dengan hadirnya Windows 10, Microsoft mengambil langkah yang cukup bijak dengan menggabungkan menu Start yang sangat memudahkan kerja dan digabungkan bersama dengan rekaan antaramuka daripada Modern UI. Hasilnya, antaramuka Windows 10 adalah antara yang tercantik pernah saya lihat dari pelbagai versi Windows sebelum ini.

Untuk versi Windows 10, bahagian taskbar telah dihias dengan warna hitam yang bagi saya adalah cukup cantik dan moden. Paparan tetingkap juga telah diberikan elemen bayang yang tidak begitu ketara tetapi sangat elegen. Menambah lagi kecantikan pada keseluruhan antaramuka ini ialah dengan ciri bingkai pada tetingkap yang akan mengikut kepada warna accent pilihan anda.

Contohnya jika anda mula-mula menggunakan Windows 10 yang pada asalnya menggunakan warna biru sebagai warna utama untuk antaramukanya, maka bingkai pada tetingkap juga akan diwarnakan dengan warna tersebut. Secara peribadinya elemen ini sangat saya sukai kerana ianya lebih menyerlahkan lagi konsep Modern UI dari Microsoft pada versi Windows 10.


Selain itu juga, rekabentuk ikon-ikon dalam Windows 10 juga telah diubah hampir keseluruhannya. Ikon-ikon kini lebih flat dan minimalis yang menggambarkan rekabentuk yang moden dan sangat sesuai dengan keadaan sekarang yang kearah itu.



Berbalik semula kepada menu Start yang baru, kini menu tersebut secara default akan menggunakan tetapan separa telap. Ujian saya keatas versi Windows 10 sebelum ini, menu Start pada ketika itu tidak menggunakan tetapan rekabentuk separa telap. Kini dengan versi untuk pasaran Microsoft bukan sahaja menggunakan tetapan separa telap secara default tetapi juga turut menggunakan efek blur yang mencantikkan lagi Windows.

Efek separa telap dan blur ini bukan sahaja dapat dilihat pada menu Start tetapi juga pada bahagian Action Center dan notifikasi.

Action Center
Action Center adalah satu elemen yang menggantikan Notification Center seperti yang diperkenalkan pada Windows 8. Action Center kini diinspirasikan kepada notification center yang terdapat pada telefon pintar yang mana segala notifikasi daripada Apps akan dikumpulkan dibahagian ini.

Jika sebelum ini iaitu pada Windows 8, pengguna tidak dapat untuk melihat semula notifikasi yang dikeluarkan jika mereka tidak terus memeriksa notifikasi tersebut. Tapi untuk Windows 10, Action Center akan menyimpan dahulu notifikasi-notifikasi anda sebelum anda sendiri membuangnya. Pembaharuan ini adalah sangat jelas merupakan satu keperluan kepada pengguna untuk tidak lagi terlepas dengan notifikasi-notifikasi penting daripada Apps atau OS seperti mana yang kita telah nikmati pada telefon pintar.

Notifikasi juga tidak lagi keluar pada bahagian atas kanan seperti pada Windows 8 tetapi kini ditetapkan pada bahagian bawah kanan antaramuka OS.

Pada bahagian bawah Action Center juga terdapat quick action yang meletakkan pelbagai suis kepada sistem untuk memudahkan pengguna. Antaranya ialah seperti yang pengguna telah biasa seperti Wifi, mod airplane dan sebagainya. Antara suis yang terbaru diperkenalkan dalam Windows 10 ialah suis mod tablet.

Mod Tablet
Seperti apa yang dinamakan, apabila pengguna Windows 10 menekan suis mod tablet, antaramuka Windows akan bertukar kepada versi yang lebih mesra tablet. Antara yang diubah ialah saiz tetingkap yang akan mengambil keseluruhan skrin. Menu start juga akan berbuat demikian seperti versi Windows 8.

Taskbar juga akan berubah sedikit dengan hanya menghad kepada 3 butang sahaja iaitu Back, Search dan Task Views. Butang Back berfungsi seperti apa yang kita telah terbiasa dengan perkakasan mobil seperti telefon pintar.

Untuk menukar dari satu perisian atau apps kepada yang lain, pengguna boleh menggunakan butang Task View. Task View berfungsi seakan apabila kita menekan alt+tab dimana kesemua perisian yang kita buka akan dipaparkan pada skrin.

Cortana
Apa itu Cortana? Jika anda belum pernah bermain permainan video bersiri yang berjudul Halo, anda mungkin tidak pernah mendengar perkataan Cortana. Didalam permainan tersebut, Cortana merupakan sebuah karakter yang merupakan sebuah AI berjantina seorang wanita. Didalam permainan Halo, Cortana membantu watak utama untuk menyelesaikan misi sambil memberikan naratif sepanjang permainan.

Saya masih ingat mengenai Cortana walaupun sudah terlalu lama saya bermain permainan yang diedarkan oleh Microsoft Game Studios ini.

Pada versi Windows kali ini, Microsoft membawakan Cortana sebagai pembantu peribadi kepada pengguna. Secara amnya pengguna kini boleh melakukan carian ke web dan juga dalam Windows pada satu tetingkap yang boleh diakses di taskbar.

Saya pun masih belum lagi menggunakan Cortana secara sepenuhnya kerana masih kurang jelas dengan cara dan kebolehan fungsi ini. Tapi dari apa yang saya baca di internet, Cortana menggambarkan satu masa depan yang cerah kepada Microsoft. Ulasan lanjut mungkin saya akan berikan dalam entri blog yang akan datang.

Apps
Secara keseluruhannya, kesemua apps keluaran Microsoft telah diberikan nafas baru dengan antaramuka yang serasi dengan bahasa rekabentuk Windows 10.

Terdapat beberapa apps baru yang dimasukkan dan ada juga yang dikeluarkan. Antara yang dikeluarkan ialah satu apps yang sangat saya sukai iaitu Reader.

Reader merupakan sebuah apps untuk pengguna membaca PDF. Reader ada pada Windows 8 sebelum ini tetapi dinyahsenarai pada Windows 10. Saya sangat kecewa dan pelik dengan keputusan Microsoft untuk membuang apps ini daripada Windows 10.

Saya juga telah cuba untuk mencari apps Reader untuk dipasang semula melalui apps Store. Tetapi sayangnya, apps Store bermasalah dan akan crash sebelum mampu saya membuat carian.

Windows 10 Bermasalah?
Secara ringkasnya, Windows 10 tidak 100% tanpa masalah. Seperti apa yang saya katakan tadi, apps Store pada Windows saya akan crash apabila ianya dapat connect dengan internet.

Selain itu, perisian Microsoft Edge iaitu sebuah pelayar internet khas untuk Windows 10  juga ada masalahnya yang tersendiri. Antaranya ialah kadang-kadang pelayar tersebut tidak akan memaparkan web yang telah dibuka.

Pengguna-pengguna yang lain dari serata dunia juga ada menghadapi beberapa lagi masalah antaranya ialah masalah driver dan permainan yang tidak boleh dimainkan. Ada diantara mereka yang mengambil langkah untuk membuang Windows 10 dan memasang semula Windows 8.1 kerana tidak berpuas hati dengan prestasi Windows ini.

Pihak Microsoft ada mengatakan tentang perkara ini dan pengguna masih menunggu langkah seterusnya daripada mereka. Update besar-besaran untuk Windows 10 dikatakan hanya akan dikeluarkan pada bulan Oktober yang mana antara perkara yang diperbaiki ialah kod-kod low-level pada Windows.

Ada juga pengguna yang tidak berpuas hati dengan Windows 10 kerana prestasi komputer mereka menjadi semakin perlahan berbanding Windows 8.

Saya secara peribadinya tidak mempunyai sebarang masalah teknikal dengan Windows 10 selain dari apa yang saya telah nyatakan. Sebaliknya saya sangat kagum dengan kecantikan dan prestasi Windows ini yang lancar.

Saya juga tidak mempunyai masalah untuk menggunakan driver daripada Windows 8.1 saya sebelum ini dan semua fungsi laptop saya berjalan dengan lancar.

Microsoft Edge
Seperti yang saya nyatakan sebentar tadi, Microsoft Edge adalah sebuah pelayar web baru dan merupakan pengganti kepada Internet Explorer sebagai pelayar utama untuk Windows 10.

Walaupun begitu, pengguna masih boleh mengakses Internet Explorer versi 11 (tanyalah Cortana bagaimana hendak menggunakan Internet Explorer).

Antaramuka Edge adalah sangat berlainan dengan Internet Explorer (IE). Edge adalah sangat moden dan cukup sesuai digandingkan dengan Windows 10. Kesemua butangnya tidak mempunyai warna dan ini mungkin tidak digemari sebahagian pengguna tetapi bagi saya, pelayar ini juga sangat cantik dan moden.

Antara fungsi baru yang diperkenalkan ialah Reading List dimana pengguna boleh menyimpan artikel-artikel yang mahu dibaca tanpa sebarang gangguan selain daripada isi artikel tersebut sahaja. Fungsinya adalah seakan Pocket tetapi sayangnya pengguna tidak boleh membaca artikel-artikel tanpa internet.

Rumusan
Windows 10 sememangnya menjanjikan pengalaman terbaru kepada pengguna setia Windows dari mana-mana versi sekalipun. Masih banyak lagi teknologi-teknologi baru pada Windows 10 yang saya tidak sentuh disini seperti Continuum, kebolehan untuk app developer menggunakan kod app mereka samada dari Android atau iOS untuk memindahkannya kepada platform Windows, HoloLens dan pelbagai lagi.

Saya sangat sarankan kepada sesiapa sahaja untuk mula memasang Windows 10 kepada komputer, laptop atau tablet Windows mereka. Saya tahu bahawa saya tidak akan kembali semula kepada Windows 8.


Begitulah hebatnya Windows 10.
Review Microsoft Windows 10 Review Microsoft Windows 10 Reviewed by shafiq on 2:08 AM Rating: 5

No comments:

Ad Home

Powered by Blogger.