recent posts

Anda Seorang Peniaga? Anda Wajib Amalkan F.O.C.U.S.



Saya minat dengan perniagaan, bisnes, startup dan sebagainya jadi saya pilih untuk menulis tajuk ini berdasarkan kepada minat saya ini. Tetapi sebenarnya apa yang saya ingin terangkan dalam entri ini boleh juga diaplikasikan kepada perkara-perkara lain jika ianya bersesuaian.

Didalam dunia perniagaan, terutamanya dalam perniagaan online, kita akan menghadapi pelbagai halangan, cabaran dan tidak lupa juga peluang, networking dan sebagainya. Dalam bisnes online sahaja, ada pelbagai cara, strategi, produk, 'rahsia' (rahsialah sangat...) dan sebagainya yang mampu untuk merangsang nafsu duit kita.


"Rahsia buat duit dari Youtube dengan Adsense"

"USD 1,000 in One Day from Simple FB Page"

"Saya jana RM 2,549 dalam masa 7 hari dari Facebook. Ini Rahsianya."

Pernah dengar tajuk-tajuk "rahsia" macam ini?

Sejelasnya itu semua adalah tajuk rekaan saya sahaja tetapi anda dapat maksud yang saya ingin sampaikan bukan?

Jika anda sekarang sedang tengah fokus untuk memajukan perniagaan anda dan lebih-lebih lagi jika anda baru bermula, saya rasa sangat susah untuk anda menyahkan mesej-mesej tadi dari minda. Anda mungkin akan mengklik link tersebut untuk melihat apa yang ada diseberang sana.

Dari pembacaan anda itu anda dapati bahawa kaedah yang ditonjolkan oleh mereka-mereka adalah sangat menarik dengan bukti-bukti yang sangat menyakinkan. Hasilnya, anda mula rasa tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi kaedah-kaedah tadi kerana anda yakin, "jika dia boleh buat duit, aku pun boleh".

Akhirnya anda log masuk dalam akaun anda di Maybank2u.com.my dan bank in kan RM 100 ke no. akaun yang diletakkan dalam web tadi. Semuanya kerana anda rasa yakin dengan panduan itu dan juga anda takut jika akan terlepas dari mendapatkannya kerana pemilik rahsia itu hanya buat tawaran kepada anda dalam masa 24 jam sahaja.

Apabila dah berjaya dapatkan rahsia itu tadi, anda mula tinggalkan perniagaan anda sebelum ini yang anda baru sahaja mulakan sebulan yang lalu kerana anda mahu fokus 100% kepada perniagaan yang baru ini. Lagipun bisnes jual seluar dalam yang anda buat itu tak ada pelanggan pun jadi anda fikir apa gunanya untuk teruskan lagi.

Setelah seminggu membuat bisnes yang baru ini, datang pula rahsia yang lagi lagi terbaru dan lagi lagi mudah dan lagi lagi terjamin untuk buat duit. Apa lagi, anda korbankan lagi sekali duit untuk dapatkan rahsia kali ini dan segalanya berulang semula lagi dan lagi dan lagi.

Hasilnya, anda mungkin tidak mendapatkan sebarang duit pun daripada pelbagai "bisnes" yang anda lakukan. Yalah mana mungkin untuk anda dapat wang dari semua bisnes itu kerana logiknya anda diibaratkan membuka kedai baru untuk satu minggu kemudian terus menutup kedai tersebut minggu seterusnya.

Pelanggan baru sahaja nak masuk dan tengok-tengok barang dagangan anda tetapi apabila dah sampai depan pintu kedai, mangga dah tutup rapat pintu premis perniagaan anda.

Anda muat naik satu video yang diharapkan untuk menjadi viral berdasarkan kaedah-kaedah yang ditunjukkan dari satu rahsia yang anda beli, anda lakukan pemasaran dan hebahan untuk video tersebut dan trafik mula datang walaupun perlahan. Untuk tempoh seminggu seterusnya, anda pasarkan lagi video tersebut dengan beberapa video lain untuk dapatkan trafik sebelum anda berhenti buat semua itu kerana ingin mulakan kerja lain pula dengan bisnes yang lain dari panduan yang baru sahaja anda beli 5 minit tadi.

Jika anda menjual barang fizikal mahupun digital, anda buat promosi barang-barang tersebut di pelbagai saluran seperti Instagram, Facebook, Blog dan sebagainya. Semuanya anda lakukan dalam seminggu juga sebelum beralih kepada produk, kaedah, atau jenis bisnes yang lain.

Cuba anda tanya diri sendiri, adakah logik untuk sesebuah perniagaan menjadi berjaya dengan cara yang anda amalkan tadi?

Adakah Facebook akan berjaya jika tiba-tiba mereka beralih arah kepada menjadi broker saham pula?

Adakah Google berjaya menjadi enjin carian pertama didunia kerana mereka juga berjual beli hartanah sambil memajukan startup mereka pada awal penubuhan syarikat mereka?

Sudah pastilah jawapannya TIDAK.

Syarikat-syarikat gergasi ini mengamalkan FOKUS kepada perniagaan utama mereka DAHULU sebelum beralih kepada perniagaan-perniagaan yang lain.

Microsoft fokus kepada perisian Windows dan Office sebelum pergi kepada pasaran hardware seperti Xbox, perkomputeran awan dan sebagainya.

Amazon fokus menjadi tempat tumpuan utama kepada mereka-mereka yang ingin membeli barangan fizikal secara online sebelum beralih kepada Amazon Web Service, smartphone, tablet dan sebagainya.

Dari pembacaan saya dengan mereka-mereka yang telah berjaya saya dapati bahawa satu amalan yang menjadi tunjang utama kejayaan mereka ialah dengan mengamalkan FOCUS.

Saya gunakan perkataan FOCUS iaitu dalam bahasa Inggeris dan bukannya FOKUS dalam bahasa Malaysia kerana FOCUS ialah satu akronim yang patut kita hafal dan amalkan untuk berjaya dalam apa juga bidang yang kita ceburi.

Maksud F.O.C.U.S. yang saya ingin tonjolkan disini ialah - Follow One Course Until Success.

Atau dalam BMnya bermaksud "buat satu perkara (bisnes, pengajian dan sebagainya) sehingga berjaya".

Kaedah F.O.C.U.S. ini sahajalah yang mampu untuk meningkatkan peratusan kejayaan anda dalam sesuatu perkara yang anda ceburi.

Jika anda menjadi blogger misalnya, F.O.C.U.S. 100% dalam perkara ini sehingga anda mempunyai pengikut yang ramai dan setia dengan blog anda. Bagaimana nak berjaya dalam perkara ini? Anda boleh buat kajian seperti carian di Google untuk tajuk-tajuk seperti "cara tingkatkan pembaca blog", "cara tulis entri blog yang menjadi kesukaan ramai" dan sebagainya.

Dari situ pula anda belajar bagaimana untuk memasarkan entri-entri anda itu tadi supaya lebih ramai yang akan melihatnya dan mungkin menjadi pembaca setia blog anda. Selepas itu anda belajar pula cara menggunakan Facebook untuk meningkatkan lagi trafik ke blog anda dan pelbagai lagi cara pemasaran yang lain.

Lambat-laun, jika anda betul-betul mengamalkan F.O.C.U.S. dengan blog anda itu tadi, tidak mustahil untuk anda dilihat sebagai pakar dalam bidang anda ini kerana anda telah mengorbankan 100% masa anda untuk memajukan blog dan menarik orang ramai kepadanya.


Apabila sudah pakar, tak mustahil untuk anda hasilkan satu produk atau panduan untuk mengajar orang lain yang ingin juga berjaya seperti anda. Telefon anda mungkin juga tidak akan berhenti berbunyi kerana ramai yang ingin panggil anda untuk membuat ucapan dalam majlis mereka. Itu semua adalah duit kepada anda.

Saya tidak nafikan putus asa mungkin mudah untuk dirasakan oleh diri kita jika apa yang sedang kita usahakan sekarang tidak mendatangkan hasil seperti yang diimpikan. Tapi satu perkara sahaja yang saya yakin bahawa sesuatu bisnes itu akan maju JIKA bisnes itu memberi nilai kepada orang lain.

Nilai ini boleh membawa pelbagai makna tetapi yang pokoknya ialah menyelesaikan masalah orang lain.

Jika anda menjual seluar dalam, anda menyelesaikan masalah orang yang tak mahu biarkan alat sulit mereka "terbang" bebas.

Anda jual krim muka? Ramai orang yang mahu putihkan muka mereka sahaja kerana mereka malu dengan muka mereka yang tengah hitam sekarang.

Yakinlah jika produk anda ada menyelesaikan masalah seseorang, Insyaallah dan pasti bahawa bisnes anda itu mampu untuk maju dan pergi lebih jauh.

Gunakan F.O.C.U.S. yang saya kongsikan ini dan jadilah seorang yang pakar dalam bidang anda supaya orang akan mudah percaya dengan apa yang anda kongsikan.

Jika artikel ini bermanfaat kepada anda, saya yakin ianya juga bermanfaat kepada orang lain juga. Jika sudi silalah kongsi dengan kenalan anda di media sosial dan sebagainya kerana mereka juga patut dibantu. Selamat berniaga!
Anda Seorang Peniaga? Anda Wajib Amalkan F.O.C.U.S. Anda Seorang Peniaga? Anda Wajib Amalkan F.O.C.U.S. Reviewed by shafiq on 12:25 PM Rating: 5

No comments:

Ad Home

Powered by Blogger.