recent posts

2 Acara Hebat Pagi Nanti – Acara Apple iPhone 7 dan Acara PS4 Neo dan Slim

Pagi nanti dalam pukul 2 rasanya akan bermula 2 acara yang semestinya menjadi perhatian kepada peminat teknologi dan gajet seperti saya – acara pengumuman iPhone 7 oleh Apple dan pengumuman PS4 Neo dan Slim oleh Sony.

Saya mungkin tidak akan tidur pada waktu tersebut untuk mengikuti pengumuman besar dan hebat dari dua gergasi elektronik.

Apa Apple Akan Umumkan Kali Ini? 

Dari kem Apple, bulan September adalah waktu yang dipilih oleh mereka untuk mengumumkan barisan produk terbaru mereka terutama telefon pintar iPhone. Apple Watch juga mungkin akan diumumkan selari dengan apa yang dilakukan oleh banyak pengeluar jam pintar Android ketika IFA 2016 tempoh hari.

Antara perubahan baru pada iPhone 7 yang mungkin diperkenalkan oleh Apple ialah seperti: -
  • Rekaan yang baru: Daripada gambar-gambar bocor di internet sebelum ini, mungkin rekaan iPhone 7 adalah tidak banyak berbeza daripada edisi sebelum ini. Rekaan iPhone terbaru ini mungkin akan lebih bersih dengan garisan antena pada bahagian belakang akan disingkirkan. 
  • Tiada lubang headphone: Ini adalah satu khabar angin yang kontroversi dari Apple. Ura-ura yang kuat mengatakan bahawa untuk versi iPhone terbaru ini Apple tidak akan menyediakan lubang headphone 3.5mm (what?!). Jadi pilihan yang tinggal adalah menggunakan headphone tanpa wayar ataupun yang menggunakan sambungan Lightning. Langkah ini ada pro dan kontranya tetapi bagi Apple mereka tak risau sangat kerana majoriti pembeli produk mereka adalah dari mereka-mereka yang berduit dan tidak kisah untuk membeli headphone tanpa wayar atau yang menggunakan sambungan Lightning. 
  • Kamera ketiga: ada khabar angin beserta gambar yang tersebar di internet yang menunjukkan kemungkinan Apple akan menggandingkan kamera belakang iPhone terbaru dengan satu lagi kamera yang mungkin berfungsi untuk menangkap gambar yang lebih berkualiti tinggi dan menawarkan fungsi zoomed-in seperti mana yang ditunjukkan oleh Huawei pada telefon P9 mereka dan juga oleh LG pada model telefon G5 mereka.
  • Tawaran storan dipertingkatkan: Akhirnya, Apple dah jadi kurang sedikit kedekutnya dengan menawarkan storan standard yang lebih tinggi pada model asas mereka iaitu dari 16gb kepada 32gb. Model-model yang lebih mahal juga akan menawarkan jumlah storan dua kali ganda daripada sebelum ini iaitu 128gb dan 256gb. Barulah lojik untuk ambil dan simpan video 4K pada iPhone.
  • Butang Home yang baru: Apple juga khabarnya akan menggunakan butang Home yang baru yang tidak boleh diklik tetapi sebaliknya menggunakan teknologi tekanan seperti mana yang mereka tawarkan pada touchpad untuk produk MacBook mereka.
  • Lain-lain lagi: Seperti biasa, untuk keluaran terbaru, iPhone 7 akan menggunakan cip pemprosesan terbaru, jumlah RAM yang akan dipertingkatkan, rekaan yang lebih nipis dan kuat dan mungkin juga iPhone kali ini akan kalis air yang menepati standard IPX7 seperti Apple Watch. 
  • Selain itu, Apple juga berkemungkinan untuk melakukan naik taraf kepada hampir kesemua produk keluaran mereka seperti MacBook Pro, MacBook Air, kesemua keluarga iPad, iPad Mini dan Apple TV. Tidak lupa juga dari segi perisian dimana Apple mungkin akan mengumumkan tarikh pengeluaran iOS 10, WatchOS 3 dan MacOS Sierra. 
Tapi kemungkinan besar Apple tidak akan mengumumkan kesemuanya pada acara kali ini (jika tidak, acara kali ini mungkin akan berlangsung dengan masa yang panjang) dan akan mengadakan acara yang lain sebelum tamat tahun ini.

Acara Pengenalan PlayStation Neo dan 4 Slim 

Baiklah sekarang untuk acara dari Sony pula. Hanya beberapa jam selepas acara Apple, Sony pula akan memulakan acara mereka.

Pada acara kali ini, Sony dijangkakan akan mengumumkan dua konsol baru yang mungkin diberi nama PlayStation 4 Slim dan Playstation Neo. Untuk PlayStation 4 Slim, mungkin tidak ada apa yang baru untuk diketengahkan kecuali tentang versi PS4 ini adalah lebih kecil, ringan dan mungkin menjimatkan sedikit tenaga.

Beberapa rekaan juga akan diubah daripada PlayStation 4 yang asal dan mungkin kelihatan seperti apa yang telah dibocorkan di internet sebelum ini. Tumpuan acara kali ini adalah kepada pengumuman PlayStation Neo.

Neo bukanlah pengenalan kepada konsol permainan generasi terbaru kerana ianya juga memainkan permainan daripada PS4. Cumanya, Neo dikhabarkan akan mempunyai perkakasan dalaman yang jauh lebih berkuasa daripada PlayStation 4 yang asal. Antara yang menjadi bualan ialah sokongan kepada permainan beresolusi tinggi sehingga 4K dan juga kuasa grafik yang dipertingkatkan untuk menyokong PlayStation VR yang akan dilancarkan pada Oktober kelak.

Ianya juga satu langkah bijak oleh pengeluar konsol seperti Sony dan Microsoft untuk menggunakan model perniagaan seperti model perniagaan telefon bimbit dimana perisian atau permainan mampu dimainkan pada pelbagai generasi konsol. Ianya seperti juga cara pemain permainan PC yang telah lama menikmati kelebihan seperti ini.

Selain itu, Sony juga mungkin akan memperkenalkan controller PS4 versi terbaru dimana antara yang dikhabarkan ialah kedudukan bar lampu akan dipindahkan kepada kedudukan yang mudah dilihat oleh pemain.

Perkara lain yang mungkin juga adalah prestasi sambungan tanpa wayar yang dipertingkatkan.

Permainan, Permainan, Permainan Rasanya memang tidak akan lengkap jika acara permainan video tidak memperkenalkan sebarang permainan baharu pada acara tersebut. Jadi berkemungkinan besar Sony akan mempersembahkan beberapa permainan baharu yang akan menonjolkan kuasa pemprosesan PlayStation Neo kepada umum. Apa permainan yang anda rasa Sony akan perkenalkan? Saya rasa mungkin kita akan tengok trailer permainan Grand Theft Auto yang baru ;p
2 Acara Hebat Pagi Nanti – Acara Apple iPhone 7 dan Acara PS4 Neo dan Slim 2 Acara Hebat Pagi Nanti – Acara Apple iPhone 7 dan Acara PS4 Neo dan Slim Reviewed by shafiq on 10:01 PM Rating: 5

No comments:

Ad Home

Powered by Blogger.