Resepi Kejayaan – Jangan Kejar Wang
Satu rahsia dalam hidup yang saya sedar dan perhati banyak
kali untuk mendapatkan apa yang kita mahukan ialah dengan membuat perkara yang
berlawanan dengan lojik pemikiran kita.
Contohnya seperti kalau nak rezeki bertambah, kitalah yang
perlu keluarkan sedeqah kerana janjiNya bahawa harta kita tak akan berkurang
jika kita bersedeqah. Lagi satu kalau kita nak ditambah rezeki, maka kita perlu
bersyukur dengan apa yang sedikit dan bukannya menunggu apabila rezeki yang
besar datang baru nak melahirkan kesyukuran.
Begitu juga dengan kejayaan terutama sekali dari segi
keusahawanan.
Jika kita nak kaya, kita kena buat sesuatu yang memberi nilai
kepada hidup orang lain dan tidak fokus kepada mencari untung sebagai matlamat
utama.
Contoh perniagaan yang berjaya hasil daripada pegangan memberi
nilai dahulu berbanding mengejar keuntungan ini adalah syarikat dari US bernama
Zappos. Zappos ialah sebuah syarikat e-commerce yang pada awalnya menjual kasut
secara atas talian dan sekarang telah berkembang kepada produk-produk yang lain.
Syarikat ini sangat terkenal dengan prinsipnya yang sangat
mementingkan kebajikan pelanggannya sehinggakan mereka melakukan sesuatu yang
jika difikirkan secara lojiknya, tentu tidak akan mendatangkan sebarang
keuntungan kepada syarikat.
Misalnya ada kes yang menceritakan bahawa seorang pekerja
perkhidmatan pelanggan Zappos sanggup menolong pelanggannya membuat pembelian
dari pesaingnya sendiri kerana Zappos tidak menawarkan padanan produk yang
dikehendaki pelanggan tersebut!
Mengikut lojik bisnes benda seperti ini sangat tak masuk akal
kerana kita memindahkan keuntungan syarikat kita kepada pesaing yang lain.
Sebab itulah dalam bisnes, kita perlu cari dan tawarkan
sesuatu yang bernilai kepada pelanggan dan bukannya semata-mata untuk mencari
keuntungan sahaja.
Dengan kata lain, kita berbisnes ini adalah untuk menolong
orang lain menyelesaikan masalah mereka dengan menawarkan bantuan melalui produk
atau perkhidmatan yang kita sediakan.
Jadi saya sarankan semua usahawan termasuk diri saya sendiri
untuk mula tukar fokus daripada berniaga untuk mencari wang kepada berniaga
untuk membantu orang lain.
Dari banyak yang saya perhatikan terhadap orang yang berjaya
ialah mereka memberi nilai yang tinggi melalui perusahaan mereka dan tidak
risau tentang wang kerana mereka telah sedar berulang-ulang kali bahawa duit
dengan sendirinya akan datang dalam jumlah yang banyak jika kita tolong dan
bantu selesaikan masalah orang lain.
Malah pengasas Zappos sendiri memberi cadangan kepada sesiapa
yang ingin berjaya untuk buat benda bernilai kepada orang lain walaupun perkara
tersebut tidak mendatangkan duit kepada kita.
Saya rasa itu adalah pesanan yang sangat tepat sekali kerana
ianya bersesuaian dengan janji Allah bahawa Allah akan membantu seseorang itu
selagi mana dia membantu saudaranya.
Dan lambat-laun, kita akan diundang juga dengan kejayaan dari
sumber yang kita tak terjangka-jangka.
Lagipun dalam hal keusahawanan sendiri, kita mungkin ada
banyak idea tentang jenis perniagaan yang ingin kita ceburi tetapi kita tetap
tak laksanakannya kerana kita fikir adakah idea yang kita mahu buat itu akan mendatangkan
duit kepada kita. Kita selalu soal diri kita adakah kita akan untung besar dari
idea tersebut.
Hasilnya, idea tinggal idea sahaja dan terkubur kerana kita
khuatir tiada siapa yang akan beri kita wang untuk apa yang kita akan buat.
Tapi jika kita tukar mindset kita kepada memberi nilai kepada
orang lain tanpa fikirkan keuntungan (sangat), kita akan mula buat sesuatu yang
sebelum ini kita rasa kita tak akan boleh pergi jauh dengan perkara ini.
Contohnya dalam bisnes kosmetik. Kalau kita fokus untuk
tolong orang, kita mungkin boleh buat sesi mendalami masalah pelanggan sehingga
kita betul-betul faham tentang masalah pelanggan. Dari situ jika produk dan
perkhidmatan kita berkemungkinan mampu untuk menyelesaikan masalah mereka, maka
kita akan lebih mudah menjual kepada mereka kerana kita dah faham tentang
masalah yang mereka hadapi dan kita ada penyelesaian untuk masalah itu.
Untuk buat perkara seperti itu akan memakan masa dan jika
kita seorang yang sememangnya bergantung harap dengan rezeki daripada
perniagaan yang kita jalankan, kita mungkin risau jika kita boleh sara hidup
dengan pendekatan tersebut.
Sebenarnya jika kita lihat pada jangka masa panjang, kalau
produk atau perkhidmatan kita berjaya selesaikan masalah untuk seorang
pelanggan, kesannya akan sangat sangat menguntungkan kita.
Pertama, kita boleh gunakan keputusan positif pelanggan kita
tadi sebagai satu testimoni yang terbukti berkesan kepada bisnes kita.
Kedua, berkemungkinan besar pelanggan itu tadi akan menjadi
ejen pemasaran kita yang paling berkesan kerana mungkin dia akan beritahu
kenalan-kenalannya yang mempunyai masalah yang sama dengannya dulu untuk
mencari kita sebagai jalan penyelesaian.
Ketiga, jika bisnes seperti produk kosmetik yang menyembuhkan
kulit misalnya, kenalan pelanggan tadi akan perasan dengan perubahan pelanggan
tersebut dan mereka mungkin akan bertanya kepadanya bagaimana dia dapat hasil
positif tersebut – dan kitalah yang akan ditunjukkan oleh pelanggan itu tadi
jika ada yang mahukan hasil yang sama!
Saya ingin ingatkan lagi bahawa kita tidak perlu risau jika
setelah kita bantu orang lain sekalipun kita tak dapat untung yang banyak atau
tak dapat untung sesen pun. Jangan risau tentang perkara tersebut kerana dengan
kita betul-betul membantu orang lain selesaikan masalah mereka, kita akan
mempunyai kelebihan dari orang lain yang mahukan untung semata-mata.
Dan juga kita boleh niatkan usaha kita itu sebagai sedeqah
dan Insyaallah akan diberikan ganjaran olehNya. Kita tak rugi apa-apa pun.
Dan apabila kita bersungguh untuk selesaikan masalah orang
lain, secara automatik kita akan tahu secara mendalam tentang pelanggan kita –
apa masalah mereka, siapa mereka, apa perasaan mereka dan sebagainya. Kita akan
menjadi kamceng dengan mereka dan hasilnya, kita lebih mudah dipercayai
daripada pemasar-pemasar yang lain.
Saya teringat tentang pesanan seorang usahawan berjaya
bernama Dane Maxwell yang mengesyorkan bahawa “we have to have a passion of
solving painful problem.”
Resepi Kejayaan – Jangan Kejar Wang
Reviewed by shafiq
on
10:10 PM
Rating:
No comments: